Belajar Menahan Marah iaitu Sabar

Teks : Zanariah Kamal



Berbicara tentang sabar, ia sering dikatakan sebagai satu sifat yang mudah disebut, payah untuk dilaksanakan. Ada benarnya, kerana kesabaran mempunyai nilai yang tinggi dalam kehidupan. Maka itulah jelas kedudukan seseorang di sisi Allah, dan hampirnya seseorang hamba itu dengan Tuhannya adalah dengan menerusi nilai kesabaran yang ditunjukkan dengan akhlaknya, sebagaimana firman Allah SWT di dalam Al Quran: “Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat kerana sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar” [Surah Al-Baqarah, ayat 153]

Melihat kepada ujian samada ianya sebagai musibah atau nikmat bergantung dengan bagaimana  kita melihat dan menerima kesusahan atau kemudahan itu. Seseorang yang sabar dan beriman akan melihat setiap ujian itu dengan bersangka baik terhadap Allah SWT yang mahukan yang terbaik untuk hamba-hambaNya sesuai dengan sifatnya Ar Rahman dan Ar Rahim. Hanya dengan iman dan ilmu tentang sifat Allah akan dapat membuatkan seseorang itu melihat hikmah disebalik setiap ujian yang datang dalam hidup dan melaluinya dengan sabar dan ikhlas.
 
Sabar  bukan berarti pasrah dan menyerah pada nasib, sabar adalah kegigihan kita untuk tetap berpegang teguh kepada ketetapan Allah (ketetapan hati dalam menerima ketentuan Allah, karena apapun yang menimpa kita adalah ketentuanNya). Namun Kesabaran bukan beerti hanya berdiam diri dan pasif, tetapi sebaliknya sabar dalam bentuk aktif. Ia bersifat aktif dalam bentuk akal yang berfikir, tubuh yang mengawal nafsu dan hati yang aktif mengawal ketingginan iman.

Kembali kepada hikmah kehidupan yang dilanda ujian, dengan sabar setiap ujian dan dugaan dalam kehidupan akan mendidik seseorang itu menjadi manusia sejati iaitu beriman, bertakwa, serta meneruskan tujuan hidup mencari keredaan Allah.

'Juga yakini bahawa setiap kesusahan yang kita tempuhi pasti akan diganti dengan kesenangan. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Nasyrah ayat 1 hingga 8 yang antara lain maksudnya “ …Sesungguhnya selepas kesulitan itu pasti ada kemudahan….”
Maka tidak ada yang perlu kita takutkan dalam hidup ini, kecuali kita tidak punya rasa syukur dan tidak dapat bersabar. Kerana Islam adalah agama yang memberikan kebahagiaan didunia dan kejayaan di akhirat bagi mereka yang menuruti ajarannya. Jika tidak didunia, nantikanlah ganjaran yang besar atas keikhlasan kita bersabar di akhirat nanti, insha Allah.

Perkara penting yang menjadikan Rumahtangga sebagai Universiti Kehidupan dan memberikan kita pendidikan sebagai orang yang Berjaya adalah “Belajar Menahan Marah”. Tentunya kita berbicara tentang emosi marah yang tidak bertempat dan tidak terkawal.

Bagi orang Islam yang beriman, sifat sabar adalah menjadi perisai dalam menghadapi segala cabaran dan dugaan dan sentiasa reda dengan takdir Allah SWT bahkan insaf terhadap-Nya.
Ini kerana mereka sedar sifat marah itu amat dibenci oleh Allah SWT dan Rasul-Nya sehingga Rasulullah SAW banyak berpesan supaya jangan bersifat marah.

Menjadi satu kerugian pada diri seseorang sekiranya menghabiskan waktu dalam kehidupan yang sementara ini dengan emosi marah yang tidak memberi keuntungan kepada mana-mana pihak. Baik dari sudut kesihatan fizikal dan mental mahupun perasaan yang tidak memberi kebaikan kepada sesiapapun.
 
Menjauhkan diri dari bersifat marah itu mempunyai banyak hikmah antaranya boleh mengelakkan berlakunya sifat dengki, dendam, benci, buruk sangka, memendam perasaan tidak baik terhadap seseorang dan bermacam-macam lagi sifat yang tidak baik.

Murahkan lah menyebut “La hawla wa la quwwata illa billahil aliyyil azim” di bibir dalam menempuhi setiap ujian yang menduga kesabaran kita sehari-hari dengan memohon kekuatan dan hidayah daripada Alah SWT.

Sesungguhnya dalam usaha menjadi orang yang Berjaya dunia dan akhirat adalah dengan belajar memperbaiki diri. Dan dalam memperbaiki diri mengatasi kelemahan menerusi dua perkara sabar dan menahan marah ini, keduanya memerlukan kepada kekuatan hati untuk dilaksanakan.

Maka Setelah selesai sesuatu amalan yang baik ucapkanlah Alhamdulilah. Memperbanyakkan ucapan ini kerana ia  melambangkan sifat sabar dan syukur kerana dihidayahkan Allah SWT untuk kita berubah kepada kebaikan dan membahagiakan diri dan pasangan. Semoga dipermudahkan setiap usaha kepada pengakhiran yang baik di dunia dan akhirat yang abadi.

 


Comments

Popular Posts