Wednesday, 12 March 2014

Sunat Tahajud Memberi Kekuatan Pada Diri

Teks : Zanariah Kamal

Bismillah...

Alhamdulillah syukur pada Allah kerana masih memberi peluang lagi pada saya untuk bernafas dan melihat anak-anak dan suami tersayang, juga semua insan yang saya sayang di dunia ini. Dapat lagi meneruskan untuk membuat sesuatu kebaikan untuk keluarga dan masyarakat pada hari ini. Sekarang jam menunjukkan 3:37 pagi. Seperti biasa saya akan terjaga antara pukul 2:00 hingga 3:00 pagi. Ketika semua orang sedang dibuai mimpi, saya sudah bangun. Pertama mungkin Allah yang menggerakkan anak kecil saya terjaga untuk minum air. Perkara ini mungkin dah jadi rutin bagi saya. Rugi kalau tidak mengambil kesempatan untuk mendirikan solat sunat Tahajud.

Biasanya setelah memberi anak minum air, dia akan tidur semula. Dan pada waktu itu mata saya terkebil-kebil tidak boleh lelap. Suami berpesan supaya ambil wudhuk dan dirikanlah solat sunat. Alhamdulillah, sudah menjadi rutin bagi saya untuk bertahajud setiap malam. Sampaikan rasa rugi jika tidak dapat buat satu hari.

Apa yang saya hendak kaitkan dengan bangun awal ini, sebenarnya saya ada masalah kesihatan sejak Julai 2013. Dari situ saya berazam untuk membuat solat sunat agar Allah dapat menyembuhkan sakit saya. Alhamdulillah, memang ada perubahan yang saya dapat lihat. Makin lama, saya ada tenaga dan semangat untuk menguruskan rumahtangga. Sampaikan ada yang mula tegur, lajunya jalan tak nampak sakit pun. Macam sihat saja. Sakit saya bukan pada fizikal. Allah nak uji saya redha, tapi saya tidak berputus asa. Anak-anak saya masih kecil perlukan saya untuk menghibur. Saya nak tunjukkan senyuman pada anak. Kekuatan yang paling maksimum saya perlukan untuk berpura-pura sihat. 

Azam dan semangat saya kuat walaupun tenaga saya tiada. Walaupun dah makan apa jenis suplemen pun. Saya berharap sangat saya akan pulih seperti sediakala.

Pengalaman saya terbaring selama 5 bulan. Tiada aktiviti yang boleh dilakukan. Hanya terbaring dan menangis mengenang nasib dan melihat anak-anak urus diri sendiri. Alhamdulillah bulan Januari 2014, saya rasa semakin baik. Sekarang saya masih berharap keajaiban akan berlaku pada diri saya. Hanya satu doa saya setiap kali selepas solat, "Ya Allah Kau permudahkanlah perjalanan hidupku, kurniakan aku kesihatan yang baik, anak-anakku masih kecil, mereka memerlukan aku, kasihanilah anak-anakku Ya Allah, sembuhkanlah penyakitku Ya Allah, hanya padaMu aku meminta pertolongan, Ameen".

Catatan saya ini, bukan untuk memberitahu orang keadaan saya. Tapi saya ingin kongsikan kebaikan tahajud itu. Saya dapat kekuatan dari situ. Allah murahkan rezeki saya, Allah bagi idea pada saya untuk mengembangkan perniagaan pakaian muslimah. Sebelum ini, saya hanya membuat jualan melalui kawan-kawan secara offline. Sekarang saya sudah mula mengembangkan dengan online. Berharap lagi ramai pelanggan saya yang suka berurusan dengan saya.

Dalam sahih Muslim ada terdapat riwayat daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :

Allah snt turun ke langit dunia pada setiap malam ketika berlalu sepertiga malam pertama. Maka Dia berkata " Aku adalah Sang Raja, siapa sahaja yang memohon kepada Ku maka aku akan mengabulkannya, sesiapa sahaja yang meminta kepadaKu maka Aku akan memberinya, siapa sahaja yang memohon ampunan kepadaKu maka Aku akan mengampuninya. Dia tetap seperti itu hingga muncul cahaya fajar"

Dari situ saya yakin dan bersetuju bahawa kesihatan adalah rezeki yang besar. Saya menganggap ia kunci untuk membuka segala pintu rezeki. Rezeki dalam pelbagai bentuk, kesihatan yang baik, rasa aman, harta, pangkat, anak-anak dan kawan-kawan semuanya boleh dibuka dengan kunci ini, iaitu tahajud.

Semoga catatan saya ini dapat menjadikan kita semangat dan merasai sendiri keajaiban Sunat Tahajud. Bagi anda yang tidak pernah buat, buatlah untungnya Allah yang beri.

Sekian,
Semoga Allah Sayang, Senyuman Itu Penawar



No comments:

Post a Comment

Antioksidan vs Radikal Bebas. Apa kaitan kedua-duanya?

ANTIOKSIDAN merupakan istilah yang tidak asing bagi kebanyakan orang. Golongan wanita selalunya  menitikberatkan penjagaan ...