Tips Untuk Rasa Gembira

Teks : Zanariah Kamal



Bismillah..

Pernah tak tiba-tiba anda rasa sedih atau tidak gembira. Padahal tidak ada seseorang pun yang marah kan anda pada ketika itu. Mood manusia boleh berubah- ubah. Terlalu banyak faktor yang boleh mempengaruhi lebih-lebih lagi kaum wanita.

Ini semua pengalaman saya sendiri. Selalunya berlaku seminggu sebelum datang haid. Kadang-kadang perasaan ini menganggu juga mood nak buat kerja rumah. Tapi saya ada cara tersendiri bila mood sedih itu datang. Saya akan tengok wajah anak bongsu saya Fayyadh. Bila saya lihat dia secara automatik saya akan senyum. Sebab saya terfikirkan Fayyadh perlukan saya untuk berkawan dan bermain. 

Anda mungkin ada cara terseindiri. Bolehlah kongsikan ye, diruangan komen nanti.

Saya ada terbaca sebuah buku, di situ ada tulis tips untuk gembira. Saya kongsikan di sini apa yang beliau tulis.

Setiap manusia tidak dilahirkan untuk berdukacita, sengsara dan derita. kebahagiaan sebenarnya milik kita semua. Dan bagaimana kita menterjemahkan kebahagiaan adalah mengikut pilihan yang kita setkan dalam minda. Anda berhak untuk memilih untuk bersedih atau bergembira.

1. Hidup Bukan Sempurna - Kita semua tahu bahawa kehidupan kita bukan selalunya gembira sentiasa. Ada kalanya ia membuatkan kita sedih, kecewa dan hampa. Apa yang perlu anda lakukan adalah menerima semuanya dari sudut positif. Simpan dalam minda anda bahawa sesuatu yang pahit itu ada penawarnya Percayalah bahawa ada manusia lain di luar sana yang lebih 100 kali menderita daripada kita.

2. Jangan Berdendam - Dendam adalah penyebab utama yang menghalang anda untuk hidup gembira. Tidak kira dengan siapa anda berdendam anda perlu membuangnya. Kebanyakkan daripada kita meletakkan peristiwa pahit yang kita alami disebabkan orang kedua dan sering menyalahkan orang lain yang menyebabkan anda tidak bahagia. Menjadi pendendam menyebabkan anda kehilangan tenaga positif dan memudahkan orang lain mengunakan kelemahan ini untuk menjatuhkan anda.

3. Mencintai dan menghargai - Luahkan perasaan cinta, menghargai persahabatan, menceriakan dan menghangatkan suasana dalam hubungan sesama manusia. Ringankan lidah anda untuk mengucapkan kata-kata penghargaan dan pujian kepada setiap orang disekeliling anda. Dengan bertindak sedemikian, anda akan memperolehi respon yang positif daripada setiap orang yang pernah anda hargai dan puji sebagai balasan.

4. Bekerja dengan gembira - Anda menghabiskan banyak masa untuk bekerja, oleh itu pastikan anda melakukan sesuatu yang anda gembira lakukannya. Jika anda tidak gembira dengan kerja anda sekarang, kehidupan anda pasti sengsara. Jika kerja tersebut bukan dalam bidang kerjaya yang anda minati, buat satu perancangan yang perlu supaya anda dapat menikmati kerja yang mengembirakan.

5. Jaga Kesihatan - Jika anda inginkan kebahagiaan maka anda perlu menghargai diri sendiri. Kesihatan diri adalah senjata kepada kesihatan mental. Pastikan anda sentiasa berada pada mengamalkan makanan seimbang dan melakukan senaman. Dengan demikian anda akan dapat merasakan satu kekuatan yang penuh dengan tenaga dan semangat untuk menjalani kehidupan dengan lebih gembira.

6. Buat perkara yang anda benar-benar ingin lakukan - Kita tidak dapat buat semua perkara yang kita inginkan namun kita boleh melakukan sekurang-kurangnya beberapa perkara yang kita inginkan dalam hidup. Lakukan sesuatu yang anda benar-benar ingin lakukan dan berusaha mencapainya agar anda memperolehi kepuasan dan merasai kejayaannya.

7. Rancang Hidup dengan Baik - Orang yang mempunyai perancangan dan objektif dalam hidup lebih bahagia daripada mereka yang tidak mempunyai perancangan hidup. Mudah sahaja kerana jawapannya, mereka ini lebih menghargai setiap masa yang mereka gunakan untuk mencapai setiap matlamat yang mereka rancang. Insya'allah..

Ini sahaja yang dapat saya kongsikan.

Moga Allah Sayang
Moga Allah Redha

Comments

Popular Posts