Teks: Zanariah Kamal
Bismillah...
Saya mahu berkongsi dengan para ibu mengenai kerenah anak-anak yang suka berkelahi. Lazimnya jika kita punya anak-anak yang agak rapat usianya, ada masa-masa tertentu mereka berkelahi. Saya ada 5 orang anak , 4 lelaki Dan sorang perempuan.
Bergaduh memang setiap hari, bila salah seorang yang rasa tidak berpuashati mereka akan bertengkar. Mula- mula cakap-cakap, makin lama makin panas, suara pun dah kuat. Bila panas, mula bangun, angkat kaki, berbalas sepakan. Yang perempuan pulak jadi back up abang kegemaran atau yang rasa ada kepentinggan pada dirinya. Contoh selalu gaduh pasal mainanlah. Macam tak masuk akal kadang-kadang punca berkelahi tu.
Bukan setakat berbalah mulut, bahkan kalau lelaki lebih lasak…. apa lagi, bertumbuklah. Alhamdulillah, anak-anak saya tidak sempat bertumbuk setakat ini. Sempatlah mereka saling berbalas pukulan seperti menyepak dan menampar tetapi tidak pernah lagi saya biarkan mereka berkelahi sampai berguling-guling atau salah seorang naik ke atas yang lain.
Saya buat begitu kerana teringat Nabi s.a.w pernah berpesan agar jangan dibiarkan anak berkelahi. Sudah lama jumpa hadis itu. Sekarang belum sempat lagi buat rujukan mengenai hadis tersebut dan statusnya. Insya Allah, bila berpeluang atau terjumpa secara tidak sengaja, saya update kandungan entry ini.
Oh ya… biasa terjadi, bila anak-anak berkelahi, ibubapa pun turut ‘naik angin’… itu lah sebabnya ada anak-anak yang berbirat-birat badannya. Bolehkah dipukul sedemikian rupa? Hmmm… saya tidak mahu sentuh hal itu di sini. Apa yang mahu dikongsi ialah pengalaman saya menangani masalah anak suka berkelahi. Kalau berbalah kecil-kecilan itu mudah dipujuk dan dileraikan. Yang menjadi masalah besar ialah perkelahian yang melibatkan aksi ganas. Ia turut men’stress’kan kita terutama ibu yang lebih banyak menghabiskan masa bersama anak-anak.
Antara yang saya pernah CUBA buat ialah membaca ayat Kursi 9 wakaf. Antara tujuan bacaan ayat Kursi ialah menghalau syaitan. Jadi bila anak berkelahi, kita baca untuk menghalau syaitan dalam diri kita dan syaitan yang sedang mengacau anak-anak kita. Barulah kita dapat bertenang dahulu dan kemudiannya baru kita mendekati anak-anak yang sedang berkelahi untuk menegur mereka. Alhamdulillah, pergaduhan mereka mudah dileraikan.
Jika kita pun sudah ‘naik angin’ dahulu… ia akan memarakkan lagi suhu panas yang sedia ada. Sebagai ibu, kita perlu lebih banyak mengingati Allah. Syaitan akan masuk dari mana-mana penjuru untuk merosakkan pendidikan anak-anak kita. Memang benar, kita perlu belajar teori pendidikan anak-anak namun tanpa bantuan Allah, segala pengetahuan dan usaha kita sangatlah lemah. Oleh sebab itulah kita perlu banyak ingat Allah dan sentiasa berdoa untuk memohon pertolongannya.
Insya Allah, jika ibu-ibu mampu menguasai diri dengan ingat Allah, kita akan diberi mampu menguasai anak-anak. Banyak kes penderaan kanak-kanak yang berlaku akhir-akhir ini disebabkan ibubapa atau penjaga hilang daya menguasai diri. Akhirnya berlaku penganiayaan pada insan yang masih suci dan tidak berdosa.
Kesan zikir juga akan membuatkan ibu-ibu rasional dalam mengambil tindakan pada anak-anak. Jika marah, marah kerana Allah… bukan kerana emosi. Jika perlu pukul pun, pukul kerana Allah.. bukan kerana nafsu ammarah… Marah dan pukul kerana Allah itulah yang akan melentur peribadi anak-anak. Marah dan pukul kerana emosi dan ego sendiri itu hanya akan membuatkan anak-anak semakin keras serta bertambah jauh dari ibubapanya sendiri. Na’uzubillah.
Aku mohon ampun kepadaMu ya Allah… atas segala kelemahanku memelihara dan mendidik insan-insan yang dipinjamkan olehMu padaku…
Anak-anak itu bukan milikku…
Tetapi sekadar amanah yang dititipkan dalam rahimku dan Engkau akan bertanya di akhirat kelak… apa yang telah kulakukan terhadap mereka…
Ampunkan daku…
Dan bantulah aku mendidik mereka untuk mengabdikan diri kepadaMu.
Semoga Allah Sayang
Comments
Post a Comment