Teks : Zanariah Kamal
Berbicara tentang sabar, ia sering dikatakan sebagai satu sifat yang mudah disebut, payah untuk dilaksanakan. Ada benarnya, kerana kesabaran mempunyai nilai yang tinggi dalam kehidupan. Maka itulah jelas kedudukan seseorang di sisi Allah, dan hampirnya seseorang hamba itu dengan Tuhannya adalah dengan menerusi nilai kesabaran yang ditunjukkan dengan akhlaknya, sebagaimana firman Allah SWT di dalam Al Quran: “Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat kerana sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar” [Surah Al-Baqarah, ayat 153]
Melihat kepada ujian samada ianya sebagai musibah atau nikmat bergantung dengan bagaimana kita melihat dan menerima kesusahan atau kemudahan itu. Seseorang yang sabar dan beriman akan melihat setiap ujian itu dengan bersangka baik terhadap Allah SWT yang mahukan yang terbaik untuk hamba-hambaNya sesuai dengan sifatnya Ar Rahman dan Ar Rahim. Hanya dengan iman dan ilmu tentang sifat Allah akan dapat membuatkan seseorang itu melihat hikmah disebalik setiap ujian yang datang dalam hidup dan melaluinya dengan sabar dan ikhlas.
Sabar bukan berarti pasrah dan menyerah
pada nasib, sabar adalah kegigihan kita untuk tetap berpegang teguh
kepada ketetapan Allah (ketetapan hati dalam menerima ketentuan Allah,
karena apapun yang menimpa kita adalah ketentuanNya). Namun Kesabaran
bukan beerti hanya berdiam diri dan pasif, tetapi sebaliknya sabar dalam
bentuk aktif. Ia bersifat aktif dalam bentuk akal yang berfikir, tubuh
yang mengawal nafsu dan hati yang aktif mengawal ketingginan iman.
Kembali kepada hikmah kehidupan yang
dilanda ujian, dengan sabar setiap ujian dan dugaan dalam kehidupan akan
mendidik seseorang itu menjadi manusia sejati iaitu beriman, bertakwa,
serta meneruskan tujuan hidup mencari keredaan Allah.
'Juga yakini bahawa setiap kesusahan yang kita tempuhi pasti akan diganti dengan kesenangan. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Nasyrah ayat 1 hingga 8 yang antara lain maksudnya “ …Sesungguhnya selepas kesulitan itu pasti ada kemudahan….”
Maka tidak ada yang perlu kita takutkan
dalam hidup ini, kecuali kita tidak punya rasa syukur dan tidak dapat
bersabar. Kerana Islam adalah agama yang memberikan kebahagiaan didunia
dan kejayaan di akhirat bagi mereka yang menuruti ajarannya. Jika tidak
didunia, nantikanlah ganjaran yang besar atas keikhlasan kita bersabar
di akhirat nanti, insha Allah.
Perkara penting yang menjadikan
Rumahtangga sebagai Universiti Kehidupan dan memberikan kita pendidikan
sebagai orang yang Berjaya adalah “Belajar Menahan Marah”. Tentunya kita berbicara tentang emosi marah yang tidak bertempat dan tidak terkawal.
Bagi orang Islam yang beriman, sifat
sabar adalah menjadi perisai dalam menghadapi segala cabaran dan dugaan
dan sentiasa reda dengan takdir Allah SWT bahkan insaf terhadap-Nya.
Ini kerana mereka sedar sifat marah itu
amat dibenci oleh Allah SWT dan Rasul-Nya sehingga Rasulullah SAW banyak
berpesan supaya jangan bersifat marah.
Menjadi satu kerugian pada diri seseorang sekiranya menghabiskan waktu
dalam kehidupan yang sementara ini dengan emosi marah yang tidak memberi
keuntungan kepada mana-mana pihak. Baik dari sudut kesihatan fizikal
dan mental mahupun perasaan yang tidak memberi kebaikan kepada
sesiapapun.
Menjauhkan diri dari bersifat marah itu
mempunyai banyak hikmah antaranya boleh mengelakkan berlakunya sifat
dengki, dendam, benci, buruk sangka, memendam perasaan tidak baik
terhadap seseorang dan bermacam-macam lagi sifat yang tidak baik.
Murahkan lah menyebut “La hawla wa la
quwwata illa billahil aliyyil azim” di bibir dalam menempuhi setiap
ujian yang menduga kesabaran kita sehari-hari dengan memohon kekuatan
dan hidayah daripada Alah SWT.
Sesungguhnya dalam usaha menjadi orang
yang Berjaya dunia dan akhirat adalah dengan belajar memperbaiki diri.
Dan dalam memperbaiki diri mengatasi kelemahan menerusi dua perkara
sabar dan menahan marah ini, keduanya memerlukan kepada kekuatan hati
untuk dilaksanakan.
Maka Setelah selesai sesuatu amalan yang
baik ucapkanlah Alhamdulilah. Memperbanyakkan ucapan ini kerana ia
melambangkan sifat sabar dan syukur kerana dihidayahkan Allah SWT untuk
kita berubah kepada kebaikan dan membahagiakan diri dan pasangan.
Semoga dipermudahkan setiap usaha kepada pengakhiran yang baik di dunia
dan akhirat yang abadi.
Comments
Post a Comment