Teks : Zanariah Kamal
Bismillah..
Assalamualaikum..hari ini ummi ada terbaca satu artikel yang ditulis oleh Prof Dr Muhaya. Tajuknya sangat menarik, iaitu murah hati dan tinggi budi.
Peribahasa Melayu ada mengatakan, "Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa." Hal ini menunjukkan betapa pentingnya kita berbudi dan menjaga budi pekerti, yang kedua-duanya itu datang daripada hati. Daripada hati yang baik, bersih dan ikhlas akan lahir perasaan dan tindakan yang positif.
Menurut Prof lagi, orang yang murah hati dan tinggi budi akan melakukan tiga perkara apabila bertemu dengan seseorang, baik yang dikenali atau yang baru dikenalinya. Pertama, buat orang yang kita jumpa itu berasa seronok dan sayang akan kita, hingga dia berasa tidak puas bersama-sama kita dan mengharapkan akan bertemu lagi dengan kita pada masa yang lain.
Hal ini bermakna, apabila kita bertemu seseorang carilah kebaikan yang ada dalam dirinya, bukan mencari kelemahan dan keburukannya. Bermurah hati untuk memujinya dengan ikhlas, bukan sekadar untuk menyedapkan hatinya dengan pujian kita yang muluk-muluk atau bertujuan membodek. Elakkan sama sekali mengkritik yang boleh menjatuhkan air muka orang. Jika perlu memberikan pandangan, berikanlah pandangan yang ikhlas dan berhemah dengan bahasa dan budi pekerti yang lembut.
Kedua, biar orang yang kita jumpa itu berasa dia baik dan penting buat diri kita. Sebut kebaikannya nyatakan kita bertuah dapat bertemunya, dan kita mengharapkan pertemuan itu bukan pertemuan terakhir. Tunjukkan kita tidak berasa terganggu dengan kunjungannya, sebaliknya kehadirannya sebagai satu rahmat dan amat dinanti-nantikan, serta amat memberikan makna dan menggembirakan kita.
Ketiga, jadilah kita seorang pemberi bukan penerima. Jom audit diri kita, adakah kita suka menjadi pemberi atau penerima? Amalan suka memberi ini adalah amalan hidup Nabi Muhammad SAW, kerana tangan yang di atas lebih mulia daripada tangan yang di bawah. Ubah persepsi bahawa kita hanya boleh memberi jika kita memiliki, dan tanggungjawab suka memberi itu hanya untuk orang yang berharta.
Sebenarnya pemberian bukan sekadar dalam bentuk barang fizikal yang kita nampak dan boleh diukur nilainya serta terhad sifatnya, kerana pemberian juga boleh dalam bentuk bukan fizikal. Iaitu seperti pujian, penghormatan dan kasih sayang, yang banyak mana pun kita beri tidak akan habis, kerana semuanya itu datang daripada hati dan perasaan serta tidak terhad.
Cuba audit diri, mengapakah susah sangat kita hendak memuji orang dan menghargai orang? Sedangkan kedua-dua perkara itu tidak bermodal untuk kita melakukannya, cuma perlu diucap oleh mulut yang terzahir daripada hati. Terutama jika kita seorang ketua, puji dan hargailah pekerja kita, kerana pujian dan penghargaan menaikkan semangat dan menambahkan tenaganya.
Orang yang pemurah hati dan tinggi budi, suka menghargai orang bukan mengharapkan dihargai serta sibuk memberikan perhatian kepada orang, bukan kita sibuk mencari perhatian orang. Kalau kita payah memuji dan menghargai orang, bermakna kita kurang kasih sayang dan harga diri, kerana prinsipnya hanya orang yang ada boleh memberi, iaitu konsep "ADA - BERI - DAPAT."
Orang yang tinggi budi mesti bermula dengan sifat bermurah hati. Untuk menjadi seorang yang bermurah hati mesti menjaga tiga perkara ini. Pertama, kasih sayang tanpa syarat kepada semua makhluk Allah. Maksudnya kita bukan baik atau sayang seseorang itu kerana dia baik dan sayang akan kita.
Biarpun dia tidak pernah berbuat baik dan menyayangi kita, bahkah dia sentiasa menyusahkan kita, kita tidak membalasnya dengan kebencian. Hakikatnya perkara yang paling payah untuk kita lakukan adalah untuk berbuat baik dengan orang yang tidak pernah berbuat baik kepada kita, tetapi hal ini adalah perkara yang mudah dilakukan oleh orang yang tinggi budi.
Kedua, sifat memaafkan. Orang yang tinggi budi akan bermurah hati untuk memaafkan orang, dengan berpegang kepada prinsip; lupakan kebaikan kita kepada orang dan lupakan kejahatan orang kepada kita serta ingatkan kebaikan orang kepada kita. Dengan berpegang kepada prinsip ini kita akan menjadi ikhlas dan tidak akan mengungkit-ngungkit atau berdendam kepada orang.
Allahuakbar..bagaimana pula dengan kita. Moga kita juga tergolong dalam kumpulan orang yang murah hati, kaya jiwa. Sentiasa memberi kasih sayang tanpa syarat. Bermulalah dari rumah, yang mana boleh ubah kita cuba ubah sekarang. Buat baik dengan ahli keluarga. Bermula dengan perkara kecil dan istiqomah.
Semoga Allah Sayang, semoga Allah Redha
Comments
Post a Comment