Teks:Zanariah Kamal
Bismillah..
Fikir positif!”...ayat ini sangat senang diungkapkan namun ianya adalah suatu perkara yang mencabar untuk dilaksanakan terutama sekali ketika sedang dilanda musibah atau tekanan yang pelbagai. Kita perlu mendapat kefahaman dan gambaran yang jelas tentang apakah yang dikatakan berfikiran positif bagi membolehkan kita mengamalkannya.
Apa itu berfikiran positif?
Sebenarnya, ia adalah sesuatu yang lebih meluas dan bukannya hanya tertumpu pada pemikiran semata-mata. Ia merangkumi keseluruhan cara kita mengendalikan kehidupan kerana berfikiran positif bermaksud memberikan fokus kepada perkara-perkara positif yang berlaku berbanding perkara-perkara negatif, sentiasa berfikir yang baik-baik tentang diri sendiri dan bukanlah mengkritik diri sendiri, sentiasa berfikir yang baik-baik tentang orang sekeliling dan berurusan dengan mereka dengan cara yang positif serta sentiasa mengharapkan perkara yang baik-baik akan berlaku di sekeliling kita dan percaya bahawa ianya memang akan menjadi kenyataan.
Apabila melihat kepada definisi berfikiran positif secara meluas ini menyebabkan kita terfikir “wujudkah manusia sebegini?”, “Impossiblela nak positif sepanjang masa” kerana sebagai manusia, kadangkala kita mengalami pelbagai ujian dan cabaran yang mengganggu pemikiran sehingga menyebabkan kita berfikir dan bertindak dengan cara yang tidak sepatutnya. Namun begitu, dengan latihan berterusan, suatu masa nanti, kita pasti akan menjadi seorang yang mampu berfikir dan bertindak secara positif walau apa pun yang berlaku pada kita.
Kenapa perlu berfikiran positif?
Cara kita menerima sesuatu perkara atau pengalaman yang berlaku dalam kehidupan adalah bergantung kepada apa yang kita fikirkan tentang perkara tersebut. Jika kita menghadapi sesuatu isu dengan pesimis, mengkritik dan penuh dengan rasa curiga, maka kita akan melalui pengalaman kehidupan yang negatif. Namun begitu, jika kita mendepani kehidupan ini dengan optimis, seronok dan yakin, kita akan membentuk suatu kehidupan yang lebih positif yang memberikan kita tenaga untuk terus bertindak dengan cara yang betul.
Sebagai contoh,peristiwa pekerja yang dimarahi oleh ketua kerana tidak menyiapkan tugas dengan sempurna, bagi pekerja yang memandang perkara ini sebagai suatu kritikan, ketua sengaja mencari kesalahan dan ketua tidak adil akan merasa tertekan dan rasa tidak puas hati. Ia akan memberi kesan yang tidak baik kepada emosi dan tindakan pekerja tersebut. Beliau mungkin akan memberontak, tidak melakukan kerja yang diarahkan atau terus tidak hadir bertugas. Namun, bagi pekerja yang mengambil teguran itu sebagai suatu motivasi untuk meningkatkan prestasi dalam melaksanakan tugas, pekerja tersebut akan berusaha lebih gigih dan membuktikan bahawa beliau boleh menjadi pekerja yang baik dan menghasilkan kerja yang berkualiti. Dari contoh ini menunjukkan bahawa cara kita menilai dan membuat pertimbangan terhadap suatu isu mempengaruhi kesan yang berlaku kepada diri dan persekitaran kita. Jika kita ingin kesan yang positif, kita perlulah membuat pertimbangan secara positif. Jika kita gagal membuat pertimbangan yang positif, maka kitalah yang akan menanggung akibatnya.
Tips Positif!!
1. Sedar Tentang Perasaan Sendiri
Cara yang paling mudah untuk mengenalpasti samada kita positif atau negatif adalah dengan mengenalpasti perasaan kita. Sebenarnya, semakin kita sedar tentang perasaan yang kita sedang alami, semakin mudah untuk kita mengubah perasaan dari negatif kepada positif.
2. Ubah perkataan yang digunakan.
Apa yang kita sebut, menghantar isyarat yang berbeza pada minda seterusnya memberikan kesan kepada cara kita menghadapi perkara tersebut. Sentiasa gunakan perkataan-perkataan yang positif semasa berfikir dan bercakap. Gunakan perkataan seperti “aku boleh”, “aku mampu”, “ianya pasti berlaku” dan tukarkan perkataan seperti “masalah” kepada “cabaran” bagi memberi kesan yang lebih positif pada diri.
3. Sekat pemikiran negatif
Latih diri untuk mengabaikan pemikiran negatif. Apabila pemikiran negatif timbul, gantikan dengan memikirkan perkara-perkara yang menggembirakan. Cuba untuk melihat sesuatu perkara dari dimensi yang berbeza.
4. Berangan
Sebelum memulakan sesuatu perancangan, bayangkan di dalam minda tentang kejayaan yang bakal diperolehi. Jika anda membayangkan perkara tersebut dengan penuh konsentrasi dan kepercayaan, anda akan kagum dengan hasilnya.
5. Membaca
Luangkan masa untuk membaca sekurang-kurangnya 1 muka surat buku-buku yang boleh memberikan kita motivasi. Ilmu boleh membuka minda kita dan menjadikan kita lebih positif
6. Aktiviti fizikal
Libatkan diri dengan apa jua aktiviti fizikal seperti berjalan, berenang atau apa sahaja aktibiti sukan. Ia akan membuatkan kita lebih cergas dan membina sikap positif dalam diri. Semasa aktiviti fizikal juga, toksin dikeluarkan dari anggota badan dan ianya boleh mengurangkan stres yang kita alami.
7. Bergaul dengan orang positif
Persekitaran kita mempengaruhi hidup kita. Jika kita di kelilingi orang-orang yang negatif, maka kita berkecenderungan untuk menjadi negatif. Apabila kita dilanda musibah, carilah orang yang boleh memberi pandangan yang baik dan menjadikan kita lebih fokus ke arah penyelesaian masalah dan bukanlah orang yang menggalakkan kita untuk meratap dan menjadikan kita semakin negatif.
8. Nobody is perfect!!
Tiada siapa yang sempurna dan tidak pernah membuat kesilapan. Jadi usahlah kita terlalu asyik memikirkan tentang kesilapan yang telah dilakukan. Apa yang penting, kita belajar sesuatu dari kesilapan itu dan berusaha ke arah yang lebih baik agar kesilapan yang sama tidak berulang.
9. Bersyukur
Saat sedang dilanda musibah, bersyukur adalah sesuatu yang amat susah untuk kita lakukan. Tapi tanpa kita sedari, dengan adanya rasa bersyukur itu menyebabkan kita lebih fokus kepada apa yang kita ada berbanding meratapi perkara-perkara yang tidak ditakdirkan untuk kita. Jadi bersyukurlah, kerana tidak semua orang ada apa yang kita ada.
10. Senyum
Senyumlah dan isi dunia akan senyum pada kita. Senyum membebaskan hormon endorphin dan serotonin dan menyebabkan kita merasa lebih tenang dan gembira. Senyum adalah produk anti-penuaan termurah dan termudah, cubalah!!
Menjadi positif memang mencabar tapi dengan usaha dan latihan berpanjangan, kita akan mendapat hasilnya. Ingat, tiada apa yang mustahil selagi kita yakin kita boleh melakukannya.
Comments
Post a Comment